Tentang SEDCO
Maklumat Korporat
Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) telah ditubuhkan pada 21 Disember 1971 melalui Enakmen Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah no. 30, 1971. Penubuhannya adalah susulan daripada penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang antara lain strateginya adalah mewujudkan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) di setiap negeri bagi tujuan membantu mencapai matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Pada awal penubuhannya, SEDCO diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar. Ia bertanggungjawab menyelaras, menyelia dan tertakluk kepada keperluan, melibatkan diri dalam pewujudan industri yang berupaya membuka peluang pekerjaan, serta memastikan penglibatan aktif golongan bumiputera di dalam sektor perindustrian dan perdagangan.
Sejak penubuhannya, SEDCO telah terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti perindustrian dan perdagangan melalui usaha sendiri dan juga secara usaha sama dengan pelabur dari dalam dan luar negara. SEDCO adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian (Negeri) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Persekutuan) dengan penglibatan dalam aktiviti komersial yang meliputi sektor-sektor pembuatan, pembangunan harta tanah, perdagangan dan perkhidmatan. Dalam aspek sosioekonomi, SEDCO berperanan penting dalam merealisasikan agenda Masyarakat Perdagangan & Perindustrian Bumiputera dengan menggiatkan perniagaan dan keusahawanan bumiputera.